Archive for the ‘Uncategorized’ Category

ayat pasif diri pertama dan diri kedua

Pelajar menengah 2C & 2D harap semak dan buat pembetulan latihan ayat pasif.

1. Saya akan menyertai peraduan fasih terjemah bulan hadapan.
Peraduan fasih terjemah akan saya sertai pada bulan hadapan.

2. Saya meminjam buku cerita ini daripada Ahmad.
Buku cerita ini saya pinjam daripada Ahmad.

3. Kamu mesti menyiapkan kerja yang diberi oleh cikgu Rahim hari ini
Kerja yang diberikan oleh Cikgu Rahim mesti kamu siapkan hari ini.

4. Anda mesti menjawab semua soalan yang diberikan dalam borang maklum balas itu.
Semua soalan yang diberikan dalam borang maklum balas itu mesti anda jawab.

5. Saya telah menonton filem terbaru yang dibintangi oleh Shahrukh khan.
Filem terbaru yang dibintangi oleh Shahrukh Khan telah saya tonton.

6. Engkau mesti mematuhi undang-undang sekolah.
Undang-undang sekolah mesti engkau patuhi.

7. Saya akan menyerahkan dompet ini kepada pemiliknya.
Dompet ini akan saya serahkan kepada pemiliknya.

8. Saya sudah menulis surat permohonan tukar sekolah.
Surat permohonan tukar sekolah sudah saya tulis.

9. Kami mengikut arahan yang diberikan oleh guru.
Arahan yang diberikan oleh guru kami ikut.

10. Saya telah menghantar emel kepada Cikgu Hanif semalam.
Emel kepada Cikgu Hanif telah saya hantar semalam.

Terima kasih. :) Setelah mempelajari ayat pasif diri pertama dan diri kedua, saya berharap kamu dapat mengaplikasikan dalam penulisan karangan sehingga tiada lagi kesilapan tatabahasa dalam karangan kamu.

KOSA KATA hari ini

MELUAP-LUAP: perasaan sangat marah (mendidih, menggelegak)

BERENGANG: tidak rapat, berantara, berjauhan

DENDAM: Pesaraan marah kerana sakit hati dan ingin membalas

MEMPERSENDAKAN: menjadikan orang lain sebagai bahan gurauan

KEHAIRANAN: sungguh hairan

PASRAH: menerima keadaan (yang telah terjadi)

PERALATAN: berbagai alat
*peralatan pertukang: pemukul, gergaji, pisau, cangkul
*peralatan memasak: kuali, alat pengisar, senduk, ketuhar dsb

RESTU: izin, doa kerana ikhlas

PANDANGAN: cara seseorang memandang sesuatu, pendapat

PREJUDIS: prasangka (salah sangka)

MENYELAMI PERASAAN: memahami perasaan orang lain

SELOK BELOK: asal-usul, faham betul akan sesuatu perkara

LUMAYAN: cukup banyak

MEMBIAYAI: menyara, menanggung biaya/ kos, membayar biaya/kos

BERKEPENTINGAN: mempunyai kepentingan, ada kepentingan

MENGHAMPAKAN: membuat seseorang berasa hampa/sedih/kecewa

KECUNDANG: gagal, kalah

BERTEKAD: mempunyai tekad/ ada tekad

PENGAJARAN: iktibar, hikmah,

Semoga bermanfaat.

Selamat Maju Jaya

Selamat menghadapi peperiksaan Bahasa Melayu GCE Peringkat O kepada para pelajar menengah  4 dan 5.

Semoga berjaya :)

Tajuk-tajuk Karangan Ekspositori

Karangan ekspositori berupa huraian atau penjelasan tentang sesuatu topik untuk memberi maklumat atau pengetahuan tambahan bagi pembaca. Berikut ini contoh-contoh tajuk karangan ekspositori.

  • Cara-cara merapatkan hubungan dengan jiran.
  • Cara-cara merapatkan hubungan dengan keluarga.
  • Kewajipan-kewajipan seorang pelajar terhadap keluarga.
  • Langkah-langkah untuk mengelakkan kejadian jenayah.
  • Ciri-ciri pelajar cemerlang.
  • Terangkan kerja-kerja amal yang boleh dilakukan remaja.
  • Cara-cara berrjimat cermat.
  • Cara-cara menghadapi tekanan.
  • Cara-cara menghadapi peperiksaan.
  • Sebab-sebab saya tidak akan meninggalkan Singapura.
  • Cara-cara menggalakkan pelajar menyertai kegiatan kokurikular.
  • Langkah-langkah untuk meninggikan mutu penguasaan bahasa Melayu.
  • Pengaruh negatif televisyen.
  • Langkah-langkah yang perrlu diambil pihak sekolah demi pencapaian akademik para pelajar.
  • Sokongan keluarga menjamin kejayaan seorang pelajar.
  • Faedah-faedah membaca buku.
  • Faedah-faedah menulis jurnal.
  • Kesan-kesan negatif majalah hiburan terhadap remaja.
  • Cara-cara mengatasi masalah disiplin di sekolah.
  • Nilai-nilai yang perlu disemai dalam diri belia remaja masa kini.
  • Faedah-faedah belajar secara bekumpulan.
  • Cara-cara mengisi masa lapang dengan baik.

Para pelajar sekalian, tajuk-tajuk di atas memerlukan huraian dan penjelasan lebih lanjut. Kamu perlu menyatakan idea kamu tentang topik-topik yang diberikan. Idea kamu harus berupa fakta, bersifat munasabah dan seboleh-bolehnya idea kamu menunjukkan originaliti (sesuatu yang baru).

Organisasi penyusunan karangan berupa pendahuluan, huraian dan kesimpulan. Sebaik-baiknya karangan kamu lebih daripada 240 patah perkataan, kurang lebih dalam tujuh hingga lapan perenggan. Semoga berjaya :)

Bahasa Melayu, Bahasa Indonesia

Bahasa Indonesia yang digunakan masyarakat Indonesia asal-usulnya dari bahasa Melayu.  Namun, dalam perkembangannya bahasa Melayu di Indonesia mengalami perubahan sehingga tidak sama benar dengan bahasa Melayu yang digunakan di Malaysia atau di Singapura.

Bandingkan kosa kata bahasa Melayu dan bahasa Indonesia berikut ini.

Bahasa Melayu _ bahasa Indonesia;

pejabat_ kantor,

basikal_sepeda,

motosikal_sepeda motor,

televisyen_televisi,

makmal_laboratorium,

boleh_dapat,

ponteng_bolos,

petang_sore,

peguam bela_pengacara,

peruntukan_jatah,

beg_tas,

bas_bis,

kereta_mobil,

kad_kartu,

kasut_sepatu

sikat rambut_sisir rambut,

melanggar_menabrak,

mahkamah_pengadilan,

jenayah_kejahatan/kriminal/pidana

takziah_belasungkawa,

jawatan kuasa_panitia,

tarikh_tanggal,

takrif_definisi,

sejuk_dingin,

peperiksaan_ujian,

tambang_ongkos,

pakar_ahli,

kilang_pabrik,

kemudahan_fasilitas,

cukai_pajak,

dadah_obat terlarang/narnotik/narkoba,

mengekalkan_melestarikan,

memandu_menyetir,

kenduri_selamatan,

kerajaan_pemerintah,

datuk_kakek,

borang_formulir,

senang_mudah,

percuma-gratis,

pentadbiran_administrasi,

taklimat_penerangan,

mustahak-penting,

temuduga_wawancara,

pandangan_wawasan,

dakwat_tinta,

baldi_ember,

pesakit_pasien,

akhbar/surat khabar_koran/surat khabar,

amah/ orang gaji_pembantu rumah tangga/babu,

berkelah_bertamasya,

senarai_daftar,

mesyuarat_rapat,

jiran_tetangga,

rancangan_rencana,

pinggan_piring,

polis_polisi,

cuti_libur,

menjemput_mengundang,

wira-pahlawan,

undang-undang_peraturan/hukum,

setiausaha_sekertaris,

bilik_kamar,

soalan_pertanyaan,

beratur-antri,

balik_pulang,

saudara-mara_sanak-saudara,

getah_karet,

sulit/rahsia_rahasia,

ayat_kalimat,

kedai_toko/warung,

sukan_olahraga,

pelancong_wisatawan,

maklumat_informasi

berbeza_berbeda

dan sebagainya.

 

Masih banyak lagi perkataan bahasa Indonesia yang tidak digunakan dalam bahasa Melayu sehingga menunjukkan perbezaan yang sangat ketara. Kosa kata bahasa Indonesia banyak dipengaruhi oleh bahasa Belanda, bahasa Jawa, bahasa Sunda, bahasa Betawi dan suku-suku bangsa lain di Indonesia.

Semoga tulisan ini berguna terutama bagi pelajar Indonesia yang belajar bahasa Melayu di sekolah. Kepada para pelajar dari Indonesia, jika dalam peperiksaan seelok-eloknya gunakanlah kosa kata bahasa Melayu terutama dalam penulisan karangan. Semoga bermanfaat :)

 

Apitan me-i dan me-kan

Apa perbezaan kata kerja berapitan me-i dan me-kan? 

meminjami, meminjamkan

menanyai, menanyakan

menemui, menemukan

menghadiahi, menghadiahkan

Cuba perhatikan ayat berikut ini, adakah perbezaan antara apitan me-i dan apitan me-kan

Syafiq meminjami saya wang $10

Syafiq meminjamkan wangnya $10 kepada saya 

 

Ibu menanyai Noraini tentang masalah itu.

Ibu menanyakan masalah itu kepada Noraini.

 

Lydia menemui pengetua sekolah untuk membuat aduan telefon bimbitnya hilang.

Lydia menemukan telefon bimbitnya yang hilang.

 

Ruzaini menghadiahi Sumirah sebuah buku.

Ruzaini menghadiahkan sebuah buku kepada Sumirah.

Dapatkah kamu mengecam perbezaan apitan me-i dan me-kan? Jika kamu kurang jelas akan perbezaannya, kamu dapat menguji dengan kata tanya apa dan siapa setelah kata kerja berapitan me-i dan me-kan tersebut.

Syafiq meminjami siapa?

Syafiq meminjamkan apa?

Ibu menanyai siapa?

Ibu menanyakan apa?

Lydia menemui siapa?

Lydia menemukan apa?

Ruzaini menghadiahi siapa?

Ruzaini menghadiahkan apa?

Apitan me-i dan me-kan  mempunyai makna yang berbeza berdasarkan objek yang mengikuti kata kerja berapitan me-i dan me-kan tersebut. Dengan cara menyoal dengan kata tanya apa dan siapa setelah kata kerja tersebut, sekarang  para pelajar sekalian semakin jelas bahawa apitan me-i diikuti objek orang, sedangkan apitan me-kan diikuti objek bukan orang. 

Memang ada beberapa perkataan kata kerja berappitan me-i dan me-kan yang kedua-duanya hampir sama seperti; menandai, menandakan; menasihati, menasihatkan; menamai, menamakan dsb.

Terima kasih Alif 5B atas soalannya :)

Apitan ke-an

kecurikkan

kerosakkan

keesokkan

kebanyakkan

kelayakkan

Beberapa contoh perkataan di atas adalah kesalahan umum perkataan berapitan ke-an. Apitan ke-an dalam bahasa Melayu bertugas untuk membentuk kata nama (nouns) dan kata kerja pasif.  Perhatikan huraian berikut ini.

 

Apitan ke-an bertugas untuk membentuk kata nama (nouns).

  • baik (kata sifat)      -> kebaikan (kata nama)
  • datang (kata kerja) -> kedatangan (kata nama)
  • raja (kata nama)     -> kerajaan (kata nama)

Apitan ke-an bertugas untuk membentuk kata kerja pasif.

  • hujan (kata nama)   -> kehujanan (kata kerja pasif)
  • lihat (kata kerja)     -> kelihatan (kata kerja pasif)
  • malam (kata nama) -> kemalaman (kata kerja pasif)

Makna apitan ke-an

1. Menyatakan perihal : kebaikan, kelayakan, kemiskinan dsb.

2. Menyatakan kena atau ditimpa :kehujanan, kedinginan dsb.

3. Menyatakan perbuatan tidak sengaja : keguguran, ketumpahan dsb.

4. Menyatakan menyerupai : kekanak-kanakan, kemerah-merahan dsb.

5. Menyatakan tempat : kedutaan, kerajaan, kementrian dsb.

 

Para pelajar sekalian,  ingat ya.. bentuk apitan ke-an adalah ke+kata dasar+an.  Beberapa kesalahan imbuhan seperti di atas tadi, yang betul adalah seperti di bawah ini.

ke+curi+an       -> kecurian

ke+rosak+an    -> kerosakan

ke+esok+an     -> keesokan

ke+banyak+an -> kebanyakan

ke+layak+an    -> kelayakan

 

Sekarang sudah faham apitan ke-an?? Bagus. :)

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.